Sunday, February 19, 2012

Al-Quran Bukan Syair Manusia...



Al-Quran ialah Kalamullah
Al-Qur’an adalah kalamullah, firman Allah ta’ala. Ia bukanlah kata-kata manusia. Bukan pula kata-kata jin, syaitan atau malaikat. Ia sama sekali bukan berasal dari fikiran makhluk, bukan syair, bukan sihir, bukan pula hasil pemikiran falsafah manusia. Hal ini ditegaskan oleh Allah ta’ala dalam Al-Qur’an surat An-Najm ayat 3-4:
“…dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)…”

Maksudnya ialah kitab suci yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad melalui malaikat Jibril. Ia mengandungi berbagai-bagai pengajaran, hukum-hakam, perundangan dan peraturan lengkap sebagai panduan umat Islam dan keselamatan sejagat. Quran diturunkan oleh Allah kepada semulia-mulia makhluk iaitu Nabi Muhammad melalui semulia-mulia malaikat iaitu Jibril, pada semulia-mulia bulan iaitu bulan Ramadan, di semulia-mulia tempat iaitu Mekah, dalam semulia-mulia bahasa iaitu bahasa Arab. Ini menunjukkan segala bentuk kesempurnaan dan kemuliaan itu wujud di dalam Quran itu sendiri. 


Sebagai orang Islam, kita dipertanggungjawabkan beberapa perkara ke atas Quran, antaranya:

  1. Memelihara dan menjaga kesucian Quran supaya tidak tercemar ataupun dicemar, dihina ataupun dipermain-mainkan dan sebagainya.
  2. Mempercayainya sebagai kitab Allah yang suci dan qadim.
  3. Mempelajari dengan membaca dan memahami segala isi kandungannya.
  4. Menghayati dan beramal dengannya secara keseluruhan dalam aspek kehidupan.


Kata Ilmuwan

Kesucian dan keunikan Al-Qur’an menurut kesaksian  Abul Walid, 
“Aku belum pernah mendengar kata-kata yang seindah itu. Itu bukanlah syair, bukan sihir dan bukan pula kata-kata ahli tilik nasib. Sesungguhnya Al-Qur’an itu ibarat pohon yang daunnya rendang, akarnya terbenam ke dalam tanah. Susunan kata-katanya manis dan indah didengar. Itu bukanlah kata-kata manusia, ia tinggi dan tiada yang dapat mengatasinya.” 
Demikian pernyataan Abul Walid.

Siapa Abul Walid ?

Abul Walid ialah seorang sasterawan Arab yang tiada tolok bandingnnya. Suatu masa beliau diperintahkan oleh para pemimpin Quraisy untuk menghadap Nabi Muhammad saw untuk memujuk baginda supaya meninggalkan dakwah Islam dengan pelbagai tawaran seperti baginda akan diberi pangkat, harta dan sebagainya. Abul Walid menyampaikan tawaran ini dan membacakan syair-syair.
Dibalas oleh Nabi Muhammad saw dengan membacakan surat Fushilat dari awal sehingga akhir. Abul Walid pun tertarik dan terpesona mendengarkan ayat itu sehingga ia termenung memikirkan keindahan gaya bahasanya. Beliau kemudian datang kepada para pemimpin Quraisy dan mengatakan kata-kata di atas.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls