Saturday, May 05, 2012

Doa Selepas Mengaji Al-Quran






Terjemah:


Ya Allah rahmatilah kami dengan al Qur’an. Jadikan ia imam kami, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami lupa dan ajarkan bagi kami apa yang kami jahil. Karuniakanlah kepada kami untuk dapat membacanya sepanjang malamnya dan sepanjang siangnya. Jadikanlah ia perisai kami. Wahai Tuhan sekalian alam.


Untuk dapatkan produk Al-Quran Digital, klik di Sini

Thursday, March 22, 2012

Menghafaz Al-Quran dan Kelebihannya


Al-Quran Sebagai Manual Guide
Allah berfirman dalam kitabNya yang mulia :
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Quran dan Kamilah yang akan menjaganya”  
(Al Hijr 15:9)
Al Quran ialah kitab suci bagi umat Islam. Al Quran diturunkan Allah ‘Azza wa Jalla secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan perantaraan Malaikat Jibril A.S bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman itu bagi memudahkan hafalan dan pengamalan oleh para sahabat ketika itu. Nabi Muhammad S.A.W juga pernah berpesan dalam khutbah Baginda yang terakhir. Mafhumnya bermaksud:
“Sesungguhnya  aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.
 Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”
Sesungguhnya, berjayalah mereka yang menghafaz dan mengamalkan apa yang terkandung dalam Al Quran. Al Quran merupakan kitab yang serba ada. Sehinggakan ada suatu kisah, ketika seorang pelajar bertanyakan kepada syeikhnya. “Wahai ustazku, kamu mengatakan segalanya ada dalam Al-Quran. Cuba beritahuku bagaimana cara untuk membuat roti?” Si ustaz diam sejenak. Lantas si ustaz membacakan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)
Bertalaqqi bersama Murabbi
Satu fakta yang tak dapat disangkal lagi bahawa, Al Quran merupakan Kalam Allah S.W.T yang Kareem(Mulia) dan ‘Adzim(Agung). Sebagai perumpamaan, jika kita merupakanbeginner dalam bidang fotografi dan tidak mahir menggunakan kamera DSLR. Sudah tentu, kita akan merujuk kepada manualnya bukan? Ya, begitu juga kehidupan kita sebagai insan. Al-Quran merupakan manual untuk meneruskan survival insan di atas muka bumi Allah Azza wa Jalla ini. Amatlah terbimbing bagi mereka yang hidup berpandukan Al-Quran.
Kelebihan yang Istimewa
Justeru, menghafaz Al-Quran merupakan satu jalan yang baik dalam usaha untuk memperbaiki dan menjalani hidup di jalan yang diredhaiNya. Terdapat banyak hadis tentang kemuliaan dan fadhilat menghafal Al-Quran yang diriwayatkan. Berikut merupakan hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab hadis Sunan Sittah yang mafhumnya bermaksud :
Hampir dengan Allah
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.”(Riwayat Ibnu Majah)
“Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Riwayat Muslim)
Keutamaan Rasulullah s.a.w
 “Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian beliau bersabda, “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka beliau mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Riwayat Bukhari)
 “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)
Syafaat Akhirat
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf. “(Riwayat Tarmizi)
Semoga apa yang kita dapat, dapat kita amal dan sampaikan.
Dapatkan Al-Quran Digital My Iman Di Sini

Wednesday, March 14, 2012

Manfaat Budaya Membaca Al-Quran

Al-Quran yang Mulia


Orang Yang Beruntung

ANTARA ciri mukmin yang beruntung di dunia dan di akhirat ialah orang mempelajari al-Quran dan aktif membacanya. Kadar keberuntungannya akan berlimpah kali ganda seandainya si penuntut dan pembaca al-Quran bergiat cergas menggali inti pati maknanya serta mengamalkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
“Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” 
 (Hadis riwayat Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Transformasikan Diri

Jadi, berdasarkan apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW itu, kita sewajarnya mentransformasikan hati supaya sentiasa rindu untuk mempelajari serta membacanya.

Jika selama ini kita sudah terbiasa dengan amalan wajib membaca akhbar setiap pagi, apa salahnya kita jadikan membaca al-Quran pula sebagai amalan yang tidak boleh ditinggalkan. 

Bina satu slogan peribadi, ‘Tak Sempurna Hari Tanpa Membaca Al-Quran’. Tampal dalam rumah supaya kita dan seluruh ahli keluarga dapat menatapnya setiap masa.

Syafaat Akhirat

Keuntungan seseorang pembaca al-Quran ketika di akhirat kerana dijamin akan diberikan syafaat ketika kita sangat-sangat memerlukan pertolongan ketika berhimpun di padang Mahsyar nanti.

Rasulullah SAW ada menyebut akan hal ini dalam sabda yang bermaksud:
“Bacalah al-Quran. Kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Ubat Hati

Seperkara lagi yang harus kita sedari bahawa amalan membaca al-Quran adalah metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati. Dalam meniti arus kehidupan, fikiran dan jiwa sentiasa diselubungi pelbagai emosi.

Justeru, bagi mukmin yang menjadikan al-Quran sebagai teman rapatnya, perasaan berkecamuk itu pasti akan terungkai apabila membaca al-Quran.

Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperoleh ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan nama mereka disebut Allah dalam kalangan malaikat.” 
 (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Berdasarkan apa dikemukakan Rasulullah SAW itu, nyatalah seseorang mukmin yang selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong dalam kalangan mukmin yang dicintai Allah.

Malah, Rasulullah SAW mengiktiraf amalan membaca al-Quran sebagai amalan ibadah terbaik untuk umatnya. Kata Rasulullah SAW:
“Yang paling utama dari ibadah umatku adalah membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Keluarga Bahagia Pilihan Allah

Membina keluarga budaya mempelajari dan membaca al-Quran perlu diutamakan kerana itulah acuan sebuah keluarga bahagia yang sentiasa dipayungi rahmat Allah. Anak membesar dalam ruang lingkup emosi berpaksikan cahaya al-Quran akan muncul sebagai anak salih dengan jiwa kebal.

Membentuk jiwa anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa. Jangan biarkan jiwa kita dan anak ketandusan keberkatan al-Quran kerana kesannya amat buruk.
Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.” 
 (Hadis at-Tirmidzi, Ahmad , Hakim dan al-Darimi)

Akar Taqwa

Mempelajari dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa sekali gus mengukuhkan akar iman serta takwa seseorang.

Kesungguhan kita mendidik hati serta keluarga dalam aspek mempelajari dan membaca al-Quran akan menjadi suatu usaha jihad yang menjanjikan pahala di sisi Allah. Inilah rumah tangga yang berspektrumkan keharuman cahaya kerahmatan Allah.

Baca dan renunglah dengan bersungguh peringatan Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda, Abu Dzar, katanya:
“Wahai Abu Dzar, kamu pergi untuk mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik daripada kamu solat seratus rakaat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Justeru, dari sini dapatlah kita mengerti betapa hebatnya amalan mempelajari dan membaca al-Quran sehingga pesanan berbuat demikian sentiasa saja diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda.

Sunday, February 19, 2012

Al-Quran Bukan Syair Manusia...



Al-Quran ialah Kalamullah
Al-Qur’an adalah kalamullah, firman Allah ta’ala. Ia bukanlah kata-kata manusia. Bukan pula kata-kata jin, syaitan atau malaikat. Ia sama sekali bukan berasal dari fikiran makhluk, bukan syair, bukan sihir, bukan pula hasil pemikiran falsafah manusia. Hal ini ditegaskan oleh Allah ta’ala dalam Al-Qur’an surat An-Najm ayat 3-4:
“…dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)…”

Maksudnya ialah kitab suci yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad melalui malaikat Jibril. Ia mengandungi berbagai-bagai pengajaran, hukum-hakam, perundangan dan peraturan lengkap sebagai panduan umat Islam dan keselamatan sejagat. Quran diturunkan oleh Allah kepada semulia-mulia makhluk iaitu Nabi Muhammad melalui semulia-mulia malaikat iaitu Jibril, pada semulia-mulia bulan iaitu bulan Ramadan, di semulia-mulia tempat iaitu Mekah, dalam semulia-mulia bahasa iaitu bahasa Arab. Ini menunjukkan segala bentuk kesempurnaan dan kemuliaan itu wujud di dalam Quran itu sendiri. 


Sebagai orang Islam, kita dipertanggungjawabkan beberapa perkara ke atas Quran, antaranya:

  1. Memelihara dan menjaga kesucian Quran supaya tidak tercemar ataupun dicemar, dihina ataupun dipermain-mainkan dan sebagainya.
  2. Mempercayainya sebagai kitab Allah yang suci dan qadim.
  3. Mempelajari dengan membaca dan memahami segala isi kandungannya.
  4. Menghayati dan beramal dengannya secara keseluruhan dalam aspek kehidupan.


Kata Ilmuwan

Kesucian dan keunikan Al-Qur’an menurut kesaksian  Abul Walid, 
“Aku belum pernah mendengar kata-kata yang seindah itu. Itu bukanlah syair, bukan sihir dan bukan pula kata-kata ahli tilik nasib. Sesungguhnya Al-Qur’an itu ibarat pohon yang daunnya rendang, akarnya terbenam ke dalam tanah. Susunan kata-katanya manis dan indah didengar. Itu bukanlah kata-kata manusia, ia tinggi dan tiada yang dapat mengatasinya.” 
Demikian pernyataan Abul Walid.

Siapa Abul Walid ?

Abul Walid ialah seorang sasterawan Arab yang tiada tolok bandingnnya. Suatu masa beliau diperintahkan oleh para pemimpin Quraisy untuk menghadap Nabi Muhammad saw untuk memujuk baginda supaya meninggalkan dakwah Islam dengan pelbagai tawaran seperti baginda akan diberi pangkat, harta dan sebagainya. Abul Walid menyampaikan tawaran ini dan membacakan syair-syair.
Dibalas oleh Nabi Muhammad saw dengan membacakan surat Fushilat dari awal sehingga akhir. Abul Walid pun tertarik dan terpesona mendengarkan ayat itu sehingga ia termenung memikirkan keindahan gaya bahasanya. Beliau kemudian datang kepada para pemimpin Quraisy dan mengatakan kata-kata di atas.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls